Monday, May 25, 2009

Saya menangis sebab tidak..........

TAIPING, 14 Mei (Hrkh) - Majlis Kesyukuran sempena kemenangan Pakatan Rakyat yang diadakan di Taman Kuning Sari, dekat sini, baru-baru ini sepatutnya disambut dengan gembira dan rasa syukur. Namun bagi wanita setengah abad berbangsa China yang hanya mahu dikenali sebagai Francis, ia disambut dengan penuh terharu. Seperti tetamu lain, mulanya Francis rancak berbual dan sangat ceria, tetapi apabila terpandang wajah Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang baru tiba, muka yang ceria itu bertukar kelat dan bergenanganlah air jernih di kelopak matanya. Menyedari berlakunya perubahan mendadak ini, para tetamu yang duduk di sebelah bertanya puncanya.
"Saya menangis sebab tidak sangka sambutan kawan-kawan sangat mesra, macam adik-kakak.
"Lagi satu, saya sungguh simpati dengan MB yang dianiaya. Dia orang baik. Orang baik pun dikhianati? Haknya membela rakyat dirampas. Kenapa zalim sangat," kalimat ini membuatkan para tetamu yang hadir tergamam
.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Ketua PAS Cawangan Taman Kuning Sari, Hashim Abdul Rahman merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas, sama ada tenaga tempatan mahupun pembantu sukarela dari seluruh negara yang telah bertungkus lumus melaksanakan kerja bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat. "Syukur Alhamdulillah Allah memberikan kemenangan yang amat besar maknanya kepada kita, semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal atas usaha ini," ujarnya. Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Nordin Jaafar pula mengimbau peristiwa lucu yang berlaku kepada perayu-perayu undi PAS ketika merayu undi daripada masyarakat China Kuala Sepetang. "Selain merayu untuk PAS, mereka dipinta 'menyiasat' setakat manakah sokongan yang diterima pihak lawan. "Para perayu ini merayu orang ramai memangkah calon lawan," ujarnya. Bagaimanapun, tambah beliau para pengundi Cina yang diminta mengundi BN mendakwa sudah menjadi ahli PAS dan telah bersumpah untuk mengundi PAS. "Mereka juga takut berdosa jika melanggar sumpah itu," cerita Ustaz Nordin disambut sorakan hadirin. Nizar yang turut berucap mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang bermati-matian melaksanakan tugas menghadapi pilihan raya kecil itu. "Inilah senario sebenar masyarakat Malaysia, hubungan akrab antara kaum seperti ini membanggakan kita. "Kemenangan Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang mudah, kita terpaksa menerangkan dasar perjuangan serta aspirasi dengan turun sendiri ke padang. "Tetapi mereka (BN) dengan angkuh dan sombong tak rasa bersalah menyalah-gunakan kemudahan awam yang dipunyai rakyat untuk berkempen dan memfitnah kita," katanya. Majlis yang dihadiri 200 tetamu petang itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mejar (B) Eeri Abdul Wahab. - mks.