Tuesday, September 15, 2009

HARI RAYA: Satu Kemenangan

kemenangan untuk orang yang beriman, kemenangan setelah menghadapi gelombang ombak Nafsu.... dan berjaya patuh kepada perintah Allah SWT.




Merayakan aidil fitri bukan sama dengan dengan perayaan hari raya lain. Perayaan yang ada kaitan dengan agama dan akidah. Kita diharamkan untuk berpuasa dan disuruh kita bergembira dan menzahirkan tanda kesyukuran dan kegembiraan dengan banyak bertakbir dan bertahmid. Seperti firman Allah SWT

“Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur” al-Baqarah 2:185

Disunatkan kita berpakaian baru sebagai rasa gembira. Kerana perayaan Adil fitri ialah perayaan kegembiraan dan rasa kesyurkuran kita kepada Allah SWT yang telah berjaya memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dengan meninggalkan makan minum dan meninggalkan segala perkara yang dilarang sepanjang bulan Ramadhan. Hari ini ialah hari kemenangan untuk orang yang beriman kerana berjaya patuh kepada perintah Allah SWT.

Kemenangan yang paling bernilai nanti ialah kemenangan apabila bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan hati yang bersih dan suci, yakni jauh dari segal kesyirikan kepada Allah SWT. pada hari akhirat nanti.

Kita telah ditarbiah dalam Madrasah Ramadhan yang meminta kita menjadi orang yang tunduk dan bertaqwa kepada Allah SWT dalam semua hal. Kita mengharapkan apabila kita keluar daripada madrasah ini akan dapat menjadi insan Rabbani yang kembali pada fitrah yang bersih dan berazam jangan mengotorkan kembali setelah keluar daripada madrasah Ramadhan.

Takbir dan tahmid yang kita lafazkan menandaka rasa syukur terhadap nikmat Allah kepada kita yang menganugerahkan nikmat iman dan Islam kepada kita yang tidak ada tukar ganti dengan yang lain.

Dalam kegembiraan kita menyambut aidilfitri kita jangan lupa saudara kita yang kurang bernasib baik samada di sebelah rumah kita, markaz kita. Mereka yang Allah taqdirkan untuk wujud atas muka bumi ini untuk menguji hambanya yang ditimpa susah dan juga menguji sejauhamana prihatin hambanya yang senang kepada mereka yang kurang berada. Sudah tentulah mereka ini orang yang perlu diberi perhatian lebih, kebetulan pula suasana negara yang dilanda kenaikan inflasi 8.5% sejak bulan ogos 2008. Ia merupakan sejarah mala petaka ekonomi yang paling teruk dalam negara kita. Apabila keadaan ini melanda negara, golongan inilah yang paling teruk. Apa tidaknya, nilai wang yang mereka perolehi semakin kecil untuk membeli barang yang sama. Bagi mereka yang Allah beri nikmat rezki yang lebih jangan lupa kepada golongan ini. Ada di kalangan saudara yang dapat bonos sebulan gaji, minimum seribu ringgit, dan ada yang dapat bonos 5 bulan gaji bagi sector koperat. Jangan lupa pandanglah sama kepada golongan ini. Mereka pun hendak gembira seperti mana kita juga. Sesungguhnya doa mereka adalah sebahagian daripada yang membolehkan dunia ini kukuh dan maju.

Takbir hari raya ialah takbir kemenangan kerana berjaya melalui dugaan Allah sepanjang dalam bulan Ramadhan. Bagi kita sebagai anggota jamaah Pas mestilah meletakkan bahawa kemenangan ada dua, satu kemenangan dunia dan satu lagi ialah kemenangan akhirat. Kemenangan dunia ialah kemenangan untuk mengajak manusia untuk tunduk kepada sistem peraturan Allah SWT dan mengajak manusia untuk kembali kepada fitrah asal manusia yang suci iaitu yang mengikut kepada arahan Allah SWT.

Lafaz takbir yang kita ucap ialah adalah lambang kebesaran Islam dan kebesaran Allah. Kita kena berbangga dengan Islam yang menjadi agama kita dan menjadi akidah perjuangan kita . Kita tidak mahu kita merasa rendah diri dengan Islam yang menjadi anutan kita. Sunnah nabi Muhammad SAW berjaya merubah bumi Makkah yang kering kontang yang tidak ada tamaddun dan hanya padang pasir sahaja perlu menjadi suri teladan kepada kita. Inilah doa yang kita baca “Ya Allah peliharalah kami dengan Islam ketika berdiri, peliharalah kami dengan Islam ketika kami duduk, perliharalah kami dengan Islam ketika berbaring”. Sebab itu kita berbangga dengan Islam yang diperjuangkan. Lafaz takbir kita bukan seperti laugan pada perkara yang lain. Ia adalah syiar kita malahan fasal 4 Perlembagaan Pas menyebut “Seruan Pas ialah Allahuakbar”.

Kita mengharapkan apa yang kita lafazkan akan menjadi satu bentuk tindakan dan amalan dalam kehidupan kita. Kita tidak mahu lafaz takbir yang kita ucapkan , hakikatnya semakin teruk Islam dibelasah di sana sini manakala umat Islam pula semakin terkebelakang daripada orang lain. Kita mesti juga bermuhasabah kenapa lafaz yang kita ucapkan tidak menjadi kegerunan kepada musuh-musuh Islam di negara ini. Makin kuat kita takbir orang Islam makin tinggi bilangan penagih dadahnya, makin kuat kita takbir tanah orang Islam semakin terhakis dan hilang, makin kuat kita bertakbir semakin hilang kuasa politik orang Islam, makin kuat kita takbir, kita kehilangan Pulau Batu Putih, manakala yang Malaysia dapat ialah pulau tenggelam timbul. Inilah kehinaan yang melanda umat Islam di negara ini.

Kenapa jadi begini? Tidak lain dan tidak bukan kerana kita bertakbir tetapi kita tidak melaksanakan apa yang kita ucapkan dalam tuntutan takbir.

Difailkan dalam: Keluarga&Masyarakat
Ust Idris Ahmad