Monday, October 31, 2011

PESANAN RINGKAS BUAT BUSINESSMAN

Penulis
DR : Anhar Opir
17 Zul-Qaedah 1432H
Sweileh, Amman
http://hjanhar.blogspot.com




1. Akhbar atas talian My Metro telah melaporkan berita Tertipu di Jordan. Ia melibatkan penjualan dan pembelian tiket penerbangan untuk siswa dan siswi yang ingin pulang bercuti ke tanah air. Ia juga melibatkan agen iaitu orang tengah yang menguruskan jual beli dengan mengambil komisyen tertentu. Tulisan ini bukan ingin membincangkan hukum feqh berkaitan jual beli secara akademik, tetapi sekadar pesanan ringkas buat semua orang yang telah, sedang atau akan terlibat dengan urus niaga jualan sama ada secara langsung atau tidak. Dengan tujuan agar ‘tertipu’ dan ‘ditipu’ tidak akan berulang lagi.

gambar hiasan

2. Semua manusia termasuk businessman, matlamat dan tujuan sebenar kita adalah Allah Azza wa Jalla. Jika kita mempunyai matlamat ini, nescaya kita akan mendapat ketenangan dan sentiasa mencari yang baik dan halal. Memastikan rezeki yang halal bermakna semua perbuatan dan transaksi kewangan kita juga tidak melanggar syara’. Kemurahan, rahmat Allah dan keberkatan harta sentiasa diharapkan. Renungkan peringatan Allah SWT dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 281 bermaksud:
Takutlah kamu semua kepada suatu hari yang kamu semua akan dikembalikan kepada Allah.
3. Oleh itu, hendaklah berlaku jujur dalam semua tingkah laku yang melibatkan urusan penjualan dan pembelian. Elakkan daripada berbohong dan menipu. Diriwayatkan daripada Abdullah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya benar (jujur) membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa kepada syurga, sesungguhnya seseorang yang berlaku jujur sehingga menjadi seorang yang jujur. Dan dusta pula membawa kepada maksiat, dan maksiat membawa kepada neraka, sesungguhnya seseorang yang sering berdusta sehingga ditulis di sisi Allah bahawa dia seorang pendusta. (Riwayat al-Bukhari)
4. Sebenarnya tiada keperluan bagi businessman untuk berdusta dalam urusannya. Selain daripada kesan apabila sudah terlajak kata maka sukar untuk ditarik balik. Oleh itu, tiada keperluan untuk berbohong walaupun hanya sekali. Di samping itu, paling utama bagi businessman ialah perasan khauf, khashyah takut kepada Allah Azza wa Jalla sama ada ketika berseorangan atau di hadapan orang ramai, kerana sesuatu maksiat boleh menghilangkan keberkatan rezeki, merugikan perniagaan, merosakkan pasaran, melenyapkan kebajikan dan output nya hanyalah kesulitan dan masalah sahaja. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Thauban RA:
Sesungguhnya seseorang akan diharamkan daripada rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya, dan tidak akan ditolak qadar melainkan dengan doa, dan tidak akan bertambah umur melainkan dengan kebajikan. (Riwayat Ahmad)
5. Bertawakkal dengan sebaik-baik tawakkal kepada Allah SWT juga merupakan pelan perniagaan yang terbaik. Iaitu dengan kepercayaan yang padu terhadap apa yang ada di sisi Allah Azza wa Jalla, kerana al-Razzaq hanyalah Allah SWT bukannya manusia atau pelanggan. Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qardzi:
Maka jadikanlah apa yang berada dalam tangan (ketentuan) Allah lebih terjamin daripada apa yang ada pada tangannya. (al-Mustadrak ‘ala Sohihain).
6. Maka jika kita percaya segala ketentuan termasuklah rezeki yang berada di tangan Allah SWT ditambah dengan usaha yang berterusan, maka ia merupakan hakikat tawakkal yang sepatutnya ada dalam setiap individu muslim. Ketika kita keluar daripada rumah untuk menguruskan perniagaan, kita bertawakkal kepada Allah Azza wa Jalla dan percaya bahawa Allah SWT tidak sekali-kali akan membiarkan kita, kemudian kita terus berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh mencari keredhaan Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 23 bermaksud:
Dan kepada Allahlah sekalian kamu bertawakkal sekiranya kamu semua beriman.
7. Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka Allah akan benar-benar memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada seekor burung, keluar di pagi hari dengan perut kosong dan kembali pada petang hari dengan perut kenyang. (Riwayat Tirmizi)

8. Businessman juga hendaklah sentiasa memastikan jangan sampai perniagaannya melalaikan daripada mengingati Allah SWT dan melakukan solat. Bersegeralah menunaikan solat di awal waktu dan secara berjemaah. Ini kerana harta dan kekayaan tidak akan memberi manfaat kepada kita pada hari akhirat nanti. Semuanya tidak akan bermanfaat melainkan amalan dan taqarrub kepada Allah Azza wa Jalla. Firman Allah SWT memuji para sahabat dalam surah al-Nur ayat 37 bermaksud:
Orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbolak-balik hati dan pandangan.

9. Manusia diciptakan oleh Allah Azza wa Jalla adalah untuk berubudiyah kepadaNya. Bekerja dan berniaga juga boleh menjadi ibadah dan wasilah untuk berubudiyah kepada Allah SWT, tetapi dengan syarat pada selain waktu ibadah yang khusus serta tidak lalai daripadanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 11 bermaksud:
Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bertempiaran lari menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (khutbah). Katakanlah: apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dari perniagaan dan permainan. Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.

10. Pesanan seterusnya buat businessman adalah elakkan daripada bersumpah ketika menguruskan perniagaan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Bersumpah untuk melariskan barang jualan, menghilangkan keberkatan. (Riwayat al-Bukhari)

11. Mereka yang banyak bersumpah boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Businessman tidak perlu bersumpah dalam urus niaganya, sebaliknya jadilah orang yang benar lidahnya, kerana kejujuran itu berasal daripada diri seseorang dan pendustaan juga berasal daripada diri seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah al-Qalam ayat 10 bermaksud:
Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina.

12. Begitu juga hendaklah businessman menjauhi daripada berbantah- bantahan dan pertengkaran. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah berbantah-bantahan atau bertikam lidah, sekiranya baginda SAW tertarik kepada sesuatu barang baginda SAW akan membelinya dan sekiranya tidak maka baginda SAW akan tinggalkannya. Baginda SAW tidak pernah bergaduh di pasar dan tidak pernah berbantah-bantahan dalam hal barang. Bertolak ansur dalam urusan perniagaan di antara businessman dan client adalah sangat dituntut dalam Islam. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Allah merahmati seseorang yang bertolak ansur (mudah) ketika menjual, dan ketika membeli, dan dalam urusan haknya. (Riwayat al-Bukhari)

13. Selain itu, businessman juga perlu amanah memberitahu pelanggan keaiban barang jualan sekiranya ada. Tidak ada kerugian jika kita memberitahu apa yang kita tahu tentang kecacatan produk jualan kita, bahkan ia boleh meninggalkan kesan positif terhadap tahap kepercayaan pelanggan pada masa akan datang. Perlu diingat bahawa mungkin kita boleh menyembunyikan sesuatu daripada manusia tetapi kita tidak akan sekali-kali boleh menyembunyikannya daripada Allah Azza wa Jalla. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisaa’ ayat 108 bermaksud:
Mereka menyembunyikan daripada manusia tetapi mereka tidak boleh menyembunyikannya daripada Allah, dan Dia bersama-sama mereka. Ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai. Dan adalah Allah maha meliputi ilmunya terhadap apa yang mereka kerjakan.

14. Semua ini adalah akhlak dan tingkah laku baik yang perlu dimiliki oleh setiap businessman, selain tidak dengki terhadap perniagaan saudaranya dan keperluan infaq serta zakat terhadap rezeki harta yang diperolehinya. Islam menyuruh kita mencari rezeki tetapi biarlah rezeki yang kita dapat adalah halal dan baik. Amalan dan perbuatan buruk perlu dijauhkan, kerana selain ia mendapat dusta, ia boleh menimbulkan persengketaan dan bermusuh-musuhan. Jika seorang pelanggan yang tertipu pun sudah memburukkan keadaan, apatah lagi jika ia melibatkan 96 orang sebagaimana laporan Tertipu di Jordan.
15. Kesimpulannya, businessman hendaklah mempunyai akhlak Islam dalam urus niaganya. Pesanan ringkas ini diharap dapat menambahkan lagi rezeki yang diberkati Allah Azza wa Jalla.

Anhar Opir
17 Zul-Qaedah 1432H
Sweileh, Amman

TIDAK akan BERGANJAK